Isnin, 30 Ogos 2010

Apa respon ahli agama tentang riaksi Ketua Menteri Pulau Pinang





Salam,
Baru-baru ini , Malaysia dikejutkan oleh parti UMNO dengan kejadian seorang YB dari DAP masuk dalam surau demi melaksanakan aktiviti kebajikan dengan niat mengeratkan silaturrahim. Ahli UMNO tangkas bangun mempersoalkan beliau masuk ke surau dengan keadaan tidak menutup aurat. Di sini saya `copy` paste jawapan riaksi Ketua Menteri Pulau Pinang bagi pihak DAP dan orang bukan Islam.

Kita tak mahu kata boleh atau tidak – Guan Eng
Mohd Ali Hashim
NIBONG TEBAL, 30 Ogos: Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching tidak berniat jahat memasuki ruang solat di Surau Al-Huda, Kajang Sentral baru-baru ini.

Beliau hanya ingin merapatkan silaturrahim antara kariah dan telah pun memohon maaf kepada Sultan Selangor, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Oleh kerana itu, seharusnya perkara ini tidak dipolitikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau yang Ketua Menteri Pulau Pinang mengulas mengenai isu Teo yang didakwa mencemar kesucian surau tersebut selepas menyampaikan sumbangan pengurusan jenazah kepada waris dan penghargaan warga emas, kelmarin.

Ahli Parlimen Bagan itu menambah, niat baik Teo itu terserlah apabila beliau memohon maaf kepada baginda Sultan dengan segera.

"Ini membuktikan beliau sebagai Ahli Parlimen dan juga DAP menghormati institusi Raja apabila merasakan baginda kurang senang dengan tindakan Teo itu.

"Biarlah perkara ini diselesaikan dengan cara baik oleh ulama. Kita tidak ingin campur tangan kerana sebagai seorang bukan Islam, kita juga tidak mahu mengatakan ia boleh atau tidak terhadap tindakan Teo itu," katanya lagi.

Ujarnya lagi, Teo tidak berpakaian menjolok mata dan berpakaian sopan tetapi kadang kala ada juga isteri-isteri kepada beberapa pemimpin Umno Barisan Nasional yang berpakaian lebih menonjol tidak pula menjadi isu besar.

Lima juga berkata, sepatutnya tumpuan utama harus diberikan kepada isu seperti skandal rasuah yang melibatkan kehilangan saham Bumiputera milik orang Melayu.

"Perkara ini telah dipolitikkan oeh mereka yang mempunyai kepentingan politik. Oleh itu, adalah lebih baik ianya tidak dipanjangkan dan tumpuan diberikan terhadap membela nasib rakyat," ujarnya.

......

Sebagai menjelaskan kedudukan sebenar YB tersebut telah bertemu dengan Menteri Besar Kelantan untuk mendapatkan penyelesaian masalah ini.

Masuk Surau: Nie Ching temui Nik Aziz
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 30 Ogos: Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching hari ini bertemu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapatkan pandangan berhubung isu kunjungannya ke Surau Al-Huda, Kajang 22 Ogos lalu.

Beliau mengunjungi Menteri Besar Kelantan itu di Rumah Kelantan di ibu negara siang tadi sejurus Tuan Guru dan deligasi kerajaan Kelantan memfailkan saman kepada Petronas di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini.

Nie Ching ketika ditemui selepas pertemuan 10 minit itu berkata, beliau gembira dapat bertemu Tuan Guru dan mendapat pandangan yang jelas dari Tuan Guru yang juga Mursyidul Am PAS itu.

"Tok Guru jelaskan kepada saya bahawa dari segi Islam bukan menjadi satu isu orang Islam masuk ke surau atau masjid.

"Dia beritahu sebenarnya pada zaman Nabi Muhammad SAW, orang bukan Islam selalu masuk masjid untuk bertemu Nabi," katnya menjelaskan isi pertemuan.

Menurutnya, dalam pertemuan itu juga, Tuan Guru memberitahunya bahawa yang menyempitkan pemahaman berhubung isu bukan Islam kunjungi masjid adalah Umno.

Menurutnya, Umno kini sangat terdesak sehingga sanggup menyempitkan isu tersebut sehingga memberi tanggapan salah bukan Islam kepada Islam.

"Dia juga memberitahu saya, di Malaysia ini, Umno guna Islam untuk takutkan orang bukan Islam dan menjadikan Islam itu agama eksklusif sedangkan Islam itu adalah untuk semua manusia," katanya lagi.

22 Ogos lalu, Nie Ching berkunjung ke Surau Al-Huda, Kajang untuk menyampaikan bantuan membaiki pagar surau tersebut.

Beliau juga dijemput oleh jawatankuasa surau untuk menyampaikan ucapan ringkas.

Insiden itu bagaimanapun dieksploitasi media arus perdana dan Umno dengan mendakwa ia satu kesalahan dan mencemar imej Islam.

Nie Ching berkata, biarpun insiden tersebut dimainkan Umno, sehingga hari ini beliau masih berkunjung ke masjid dan surau yang menjemputnya.

"Saya masih menjalankan tugas saya sebagai ahli parlimen bila dijemput.

"Sejak insiden itu diperbesarkan, saya terus mendapat sokongan dari rakyat," katanya.

Sementara itu, Nie Ching juga memberitahu surat permohonan maaf kepada Sultan Selangor telah disampaikan melalui Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim Sabtu lalu.

Hasil dari ulasan ini, di mana suara pejuang Islam `Had Hari` yang lantang menyerang situasi ini hingga melibatkan pihak istana. Sehubungan itu juga terbongkarnya kisah disebalik `Program Juara Rakyat` tajaan UMNO Kuala Langat. Bagaimana halnya Surau Al Falah telah `dirogol` oleh Puteri UMNO dengan menjadikan surau itu sebagai pusat pertandingan merias pengantin. bukan sahaja tidak menutup aurat, malah berlaku percampuran lelaki dan perempuan dengan keadaan yang tidak sopan.

Mana dia suara-suara yang perkasa menghentam YB dari DAP tersebut. Adakah aktiviti tajaan Pembangkang adalah HARAM di sisi agama. Manakala aktiviti UMNO adalah HALAL di sisi agama. Sepatutnya , apa-apa isu yang timbul , kita perlu kembali dahulu kepada hukum hakam Islam, bukan terus menghentam dengan tanpa usul periksa. Hujung-hujung Islam malu sendiri di kalangan masyarakat majmuk Malaysia. Hal ini menjadikan orang bukan Islam semakin takut untuk mendekati Islam. Ini lah sikap Islam Had Hari UMNO. Maka , timbang-timbangkan lah, Wallahu `aklam.

Khamis, 26 Ogos 2010

PAFA - Berkesankah terhadap pelajar?



Salam,
Bulan Ramadhan kembali lagi dengan keberkatan yang tiada bandingan. Allah SWT mengganjarkan pahala yang berlipat kali ganda bagi amalan hambaNya pada bulan ini. Namun ketika ini juga dugaan makin bertambah. Mudah-mudahan Allah SWT memberi kekuatan dalam diri hambaNya ini bagi melaksanakan segala kewajipan.

Bulan ini juga, kebetulan saya mengadakan ujian PAFA bagi para pelajar saya (tingkatan 1 , 2 dan ada juga pelajar-pelajar tingkatan 5 ), apa yang menarik perhatian ialah gelagat para pelajar yang `memaksa diri` untuk mula menghafaz isi kandungan buku PAFA yang dibekalkan oleh Bahagian Kurikulum Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Amnya para pelajar muslim akan diuji tiga kali selama menjadi seorang pelajar sejak sekolah rendah hingga menengah. Ujian pertama dilakukan apabila para pelajar muslim itu berada dalam tahun 6. Ujian kali kedua apabila mereka berada dalam tingkatan 3 , dan ujian terakhir ketika berada dalam tingkatan 5. Sepanjang mereka berada di alam sekolah rendah, mereka seharusnya telah memahami segenap aspek isi kandungan dalam buku PAFA. Ini kerana, mereka sudah belajar selok belok yang terkandung didalamnya.

Masalahnya, mengapa setiap kali diuji, barulah mereka bermati mati hendak menghafaz isi kandungan buku PAFA tersebut. Oleh itu, adakah PAFA ini hanya perlu sewaktu ujian sahaja ? Sedangkan setiap isi kandungan tersebut adalah amalan yang perlu dilaksanakan setiap hari sebagai seorang muslim. Contohnya , jika seseorang itu telah melakukan solat lima waktu setiap hari. Mustahil mereka akan tidak dapat menerangkan kaedah wudu` dan pelaksanaan solat serta bacaan di dalam solat. Mengapa perlu di hafaz semula.......... kesimpulannya para pelajar itu tidak pernah melaksanakan amalan-amalan wajib di rumah ataupun di mana-mana jua. Persoalannya `Berkesankah PAFA dalam menjadikan para pelajar sebagai muslim sejati ?`

Saya teringat suatu ketika , dalam kursus kurikulum Pendidikan Islam anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Kementerian Pelajaran Malaysia. Para guru pendidikan Islam dikerahkan secara drastik untuk melaksanakan nilai-nilai Islam Hadhari. Kerahan tersebut dirasakan terlalu `WAJIB` hinggakan wujud proses pemantauan di peringkat `akar umbi`..... jika difikirkan berapa banyak kos yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Islam dan Moral bagi membiayai elaun-elaun pegawai yang keluar ke sekolah-sekolah untuk pemantauan tersebut. Ketika kursus itu, saya secara peribadi telah mempersoalkan `Konsep PAFA` dan keberkesanannya. Malah saya juga telah mencadangkan agar pihak tertentu untuk mengkaji semula aspek pelaksanaanan PAFA di sekolah rendah dan menengah. Namun hingga sekarang belum ada apa-apa perkembangan.

Maka begitulah kejadiannya PAFA bagi sekolah-sekolah dan Guru Pendidikan Islam menjalankan rutin yang menjadi kebiasaan. Seterusnya perkara yang menyedihkan itu akan berulang kali pada setiap tahun dan begitulah untuk tahun seterusnya. Oleh itu... para pelajar akan berterusan begitu. mudah-mudahan saya akan diberi kekuatan untuk terus menggandakan usaha dalam memyampaikan ajaran Islam kepada para pelajar saya... amin. Bila dipersoalkan tentang keberkesanan PAFA.... tepuk dada , tanyalah ibu bapa pelajar. Adakah pelajar-pelajar tersebut mengamalkan segala isi kandungan PAFA di rumah. wallahu `ak lam ... timbang-timbangkanlah.

Khamis, 5 Ogos 2010

Mati sebelum mati

Salam, saya amat tertarik apabila membaca satu artikel di dalam majalah Solusi Isu no. 21 ( satu majalah alternatif terbaik setakat ini untuk dijadikan bahan bacaan umum oleh seluruh umat Islam di Malaysia ). Tajuk artikel itu ialah ` PUTUS ASA ITU MEMBUNUH `.

Kisahnya mengenai seorang pekerja di sebuah kilang makanan sejuk beku yang terperangkap dengan tidak sengaja dalam sebuah bilik sejuk beku. Pelbagai cara digunakan untuk membuka pintu itu namun tidak berjaya. Puas pekerja itu menjerit meminta tolong, tetapi tidak ada yang mendengarnya.

kedinginan bilik kian lama kian menyerap ke dalam tubuhnya. Pekerja itu amat takut dan bimbang akan situasi itu. Fikirannya berserabut memikirkan perihal dirinya , isterinya dan anak-anaknya. Ketakutan bertambah apabila tidak ada bantuan yang muncul sehingga pekerja tersebut menggigil kesejukan dalam masa yang begitu lama.

Akhirnya , pekerja itu mengambil kertas catatan yang sentiasa bersamanya ( untuk mencatat jumlah stok barangan ) lalu menulis satu wasiat kepada keluarganya. Pada fikirannya , beliau akan mati disitu oleh sebab tidak ada sesiapa yang dapat menyelamatkannya. Namun beliau lupa satu perkara yang amat penting iaitu pergantungan harap kepada Allah SWT ( Tuhan yang menentukan segala sesuatu ).

Pada keesokannya, para pekerja lain terkejut apabila menemui sekujur tubuh yang kaku ( mati )bersama sekeping surat wasiat di tangannya. Bagaimanakah beliau mati, adakah kerana kesejukan? Semua ini menjadi tanda tanya disebabkan suis penghawa dingin bilik tersebut telah dimatikan sejak semalam lagi.

Oleh itu, perlu kita fahami akan konsep taqdir dan tawakkal secara menyeluruh. Ini kerana dengan kekuatan hubungan kita kepada Allah SWT akan mewujudkan sikap yang redho dan sentiasa mengharapkan pertolongan dari Allah. Malah akan menzahirkan peribadi yang yakin terhadap ketentuan Allah iaitu `Beriman kepada Qada` dan Qadar Allah`. Sebaliknya jika seseorang itu terseleweng dari konsep ini , maka jadilah mereka golongan yang sentiasa berputus asa dalam hidup jika ditimpa kegagalan dan kekecewaan. Lantaran itu, tidak ada usaha untuk memperbaiki keadaan dan usaha untuk mencapai kejayaan walaupun seringkali ditimpa kegagalan. Inilah yang dikatakan `MATI SEBELUM MATI`. Timbang-timbangkanlah, Wallahu `aklam.

Isnin, 2 Ogos 2010

Kakak pakai baju adik?





Salam..... baru-baru saya ada mengikuti seminar kepimpinan pelajar Islam anjuran sebuah NGO Islam. Dari penelitian saya, modul dan bahan-bahan yang disampaikan amat baik dan sewajarnya disampaikan kepada semua pelajar Islam. Namun bila saya melihat kepada penampilan para pesertanya malah fasilitatornya ( khusus kepada jantina perempuan ) menyebabkan saya teringat kepada sebuah Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Abu Hurairah R.A yang bermaksud :

"Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka, Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka ( sanggul / fesyen rambut ) bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga boleh terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh". ( Riwayat Muslim no. 3971 )

Dalam riwayat Imam Malik ada sambungan hadis ini iaitu : ".... Bau wangi syurga dapat dihidu dari jarak 500 tahun perjalanan". ( Al Muawatta` no. 1421 )

"... Berpakaian tetapi telanjang" apakah maksud sebenarnya........
Imam An Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa ada beberapa makna.
Antaranya :

* Perempuan yang menutup sebahagian auratnya dan membuka sebahagian yang lain atau memakai pakaian yang nipis sehingga menampakkan bentuk badannya *

Di dalam kitab Al Muntaqa ( Syarah Al Muwatta` .... Imam Malik ) pula , ditambah dengan pengertian memakai pakaian tetapi terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk badan.

Berbalik kepada situasi seminar tersebut, saya dapati hampir 80 % peserta perempuan yang memiliki ciri-ciri golongan yang dinyatakan dalam hadis tersebut dan hanya dua atau tiga orang sahaja yang bertudung labuh dalam kalangan fasilitator wanita. Manakala fasilitator lelaki pula jelas menampakkan `aura` pemimpin Islam yang sejati malah boleh dijadikan model kepada para peserta.

Persoalannya ... adakah menutup aurat hanya sekadar menutup kepala ( rambut ) dari pandangan orang lain. Berbezakah menutup aurat ketika solat dan di luar solat?

Walaupun, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama mazhab tentang `kaki` wanita. Adakah termasuk dalam had aurat? Jumhur ulama sepakat mengatakan kaki wanita juga aurat yang mesti ditutup ( menggunakan sarung kaki ). Hujah ini dikuatkan dengan hadis Rasulullah SAW, dilaporkan oleh Ibn Umar yang bermaksud :

"Allah tidak melihat kepada sesiapa yang mengheret pakaiannya yang labuh kerana bermegah. Ummu Salamah bertanya : bagaimana wanita patut lakukan dengan hujung-hujung pakaian mereka yang labuh?. Baginda menjawab : Labuhkan sekadar sejengkal".

Teringat saya ketika menjadi Jurulatih Dakwah, Unit Dakwah dan Kepimpinan, JPN Sabah. Dalam kursus-kursus yang diadakan itu, para peserta wanita ( USTAZAH ) jelas sekali tidak mengambil berat tentang pakaian menutup aurat yang sebenar. Hanya segelintir sahaja Ustazah yang betul-betul memiliki `Aura` seorang Ustazah. Walaupun sudah berkali-kali `Ustazah-ustazah` tersebut diingatkan akan kewajipan menutup kaki , malah dinyatakan secara bertulis di dalam peraturan kursus. Namun segalanya bagai debu di jalanan yang terbang apabila ditiup angin. Langsung tidak ada perasaan untuk takut akan kemurkaan Allah SWT.

Saya pernah bertanya tentang kenapa penampilan mereka sebegitu rupa, jawapannya :

`Sesungguhnya Allah tidak membebankan hambaNya dengan perkara yang tidak mampu dilakukan. Oleh itu , kita buat sekadar kemampuan sahaja lah`

Waduh!!!!!! mantap jawapan tersebut. Tetapi , bila saya risik-risik akan pemakaian mereka sewaktu bergelar pelajar perempuan sama ada di sekolah menengah atau pun di universiti.... jelas menunjukkan mereka pernah membiasakan diri dengan tudung labuh malah ada yang `pernah` berjubah. Maka , terfikir pula... mengapa dahulunya `mampu` berpakaian sebegitu, tetapi sekarang `tidak mampu` lagi. adakah mereka sudah `UZUR` sehinggakan tidak lagi mampu menahan `BERAT` tudung labuh. Persoalan ini hanya mereka sahaja yang dapat menjawabnya di hadapan Allah SWT. Kadang-kadang , lagi tinggi status akademik seseorang , maka bertambah bodoh mereka dalam membela diri. Ini berlaku apabila saya cuba mendesak `Ustazah-ustazah` tersebut atas faktor peraturan kursus dan bukannya faktor `hukum`. Respon mereka terhadap saya iaitu, mereka menyalahkan saya dengan alasan saya sibuk-sibuk menyuruh orang lain , kenapa saya pula tidak memakai kopiah atau `lebai` sebagai tanda seorang `ustaz`. Tak kan lah seorang ustazah tidak boleh menilai yang mana satu hukumnya `Wajib` dan yang mana satu hukumnya `Sunat`.

Hakikatnya, dahulu ...sekiranya seseorang pelajar dari sekolah menengah agama kelolaan majlis agama negeri ( sekolah menengah agama rakyat ) akan berbeza penampilannya dengan pelajar dari sekolah menengah agama kementerian Malaysia. Mungkin faktor `budaya` bertudung labuh ini tidak menjadi keutamaan. Pengalaman saya di ke dua-dua sekolah ini, sememangnya ketara perbezaannya. Penerapan nilai di SMKA itu amat kurang dibandingkan dengan sekolah menengah agama rakyat. Ini adalah satu rialiti ...... bagi sesiapa yang menjadi pelajar sekitar sebelum tahun 1990 an.

Allah berfirman dalam surah Al Ahzab ayat 59 yang bermaksud :

"Wahai Nabi , suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka melabuhkan pakaian bagi menutup tubuhnya".

Surah An Nur ayat 31, Allah berfirman yang bermaksud :

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman , supaya menahan pandangan mereka ( daripada memandang perkara-perkara yang haram ) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Dan mereka perlu melabuhkan kain tudung mereka bagi menutupi dadanya".

Dewasa kini, sudah menjadi `trend` wanita Islam pelbagai lapisan umur memakai pakaian `see through` kononnya mengikut peredaran zaman, walaupun ada `inner`. Malah ada yang merasakan sudah sempurna menutup aurat apabila hanya menutup rambut dengan pelbagai fesyen yang menghina Islam.

Satu soalan yang sentiasa berlegar di fikiran saya, dalil apakah lagi yang diperlukan oleh `USTAZAH-USTAZAH` ini untuk menampilkan diri mereka sebagaimana kehendak Allah dan Rasul. Hinggakan seorang pensyarah saya yang bergelar Dr. kerana memiliki PHD ( Fakulti Pengajian Islam ) dengan berani mengeluarkan `Fatwanya`:

"Sesungguhnya Al Quran tidak menerangkan dengan jelas kod etika menutup aurat. Oleh itu , selagi tidak bercanggah dengan syariat , maka wanita Islam boleh bergaya".

Benarkah? Dimana letaknya ayat-ayat yang jelas memerintahkan supaya melabuhkan pakaian menutupi tubuh dan khususnya menutupi dada? Dimana syarah-syarah para Ulama Muktabar tentang `Tabarruj`. Walaupun saya tidak lah memiliki ilmu sebegitu tinggi, namun saya merasakan jika kita faham dengan sebenar-benarnya konsep aurat berdasarkan Al Quran dan Hadis Rasulullah SAW serta memahami konsep Tabarruj. Maka sudah tentu tidak akan wujud fesyen-fesyen `Muslimah` yang menghina Islam secara terang-terang walaupun dipromosikan oleh `selebriti agama TV` melalui penampilan mereka dalam rancangan-rancangan TV.

Memandangkan hal ini pun tidak dapat diselesaikan oleh pendokong-pendokong agama, bagaimana mungkin ` mad`u ` dapat memahami konsep Islam yang sebenar. Timbang-timbangkan lah. Wallahu `aklam