Khamis, 29 Julai 2010

Aqidah : boleh didakwa dalam mahkamah ?


Salam buat semua insan yang memiliki hati dan perasaan terhadap pencabulan aqidah yang berleluasa dewasa kini. Sekali lagi Malaysia digemparkan dengan isu menghalang pertukaran status agama..... kepada agama Islam. Mana teriakan pejuang-pejuang agama dari pihak `KERAJAAN ISLAM HADHARI`. Semua diam membisu. maka di sini saya `copy paste` satu artikel yang boleh dijadikan renungan kita bersama :

CETUSAN USTAZ SAIFUL BAHARI.


Mahkamah benarkan bicara penuh bagi semakan kehakiman tukar agama anak guru tadika

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan perbicaraan secara penuh bagi permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh guru tadika M.Indira Gandhi untuk membatalkan keputusan penukaran agama bagi ketiga-tiga anaknya.

Indira Gandhi yang turut hadir ke mahkamah hari ini memperoleh hak penjagaan bagi ketiga-tiga anaknya iaitu Tevi Darsiny (Ummu Salamah), 13, Karan Dinish (Abu Bakar), 12, dan Prasana Diksa, 2, pada Mac lepas telah memohon untuk mengenepikan penukaran agama Islam daripada agama Hindu terhadap kesemua anaknya yang dilakukan oleh bekas suaminya Mohd Ridzuan Abdullah.

Hakim Zainal Adzam Abdul Ghani membuat keputusan dalam kamarnya di hadapan peguam M.Kulasegaran, N. Selvam dan Chong Xian Ci yang mewakili Indira Gandhi tanpa kehadiran peguam mewakili Mohd Ridzuan.

Pada 24 April 2009, mahkamah membenarkan permohonan ex-parte oleh Indira Gandhi, untuk mendapatkan hak penjagaan sementara tiga anaknya dan injunksi menghalang bekas suaminya itu daripada memasuki rumah mereka. Pada 29 Oktober 2009, Mahkamah Syariah memberikan hak penjagaan ketiga-tiga anak itu kepada Mohd Ridzuan.

Pada 11 Mac lepas, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan hak penjagaan anak bongsunya Prasana Diksa yang berusia 22 bulan (kini dua tahun) diserahkan kepada Indira Gandhi selepas kes perebutan hak penjagaan itu berlarutan sejak tahun lepas.

- Harian Metro

Pada 1 April, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Mohd Ridzuan supaya mahkamah menangguhkan perintah hak penjagaan anak bongsunya yang diperoleh oleh Indira Gandhi itu.

Kes ini mendapat perhatian ramai kerana wujud konflik antara bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dalam menentukan hak penjagaan anak selepas salah seorang pasangan memeluk Islam. Isu ini pernah sampai ke peringkat parlimen bahawa mereka akan mengkaji kes-kes pertukaran agama anak-anak, tetapi tiada langkah konkrit diambil berhubung Akta (Pembaharuan) Perkahwinan.

Sebenarnya inilah kegagalan pemerintah dalam menjaga agama dan umat Islam di Malaysia. UMNO-BN yang diberi kepercayaan bagi menjaga hak-hak umat Islam gagal untuk memartabatkannya bahkan gagal untuk mempertahankan aqidah umat Islam.

Kita sedia maklum hukum hadhanah dalam Islam dan kalaulah keputusan mahkamah Syariah sebelum ini itu diketepikan, apa lagi yang ada bagi umat Islam di Malaysia ini. Mahkamah Tinggi wala’ mereka adalah perlembagaan Lord reid yang menjadi terlalu qudus untuk Negara Malaysia. Sedangkan ianya mengkesampingkan undang-undang dan peraturan Islam yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.

Mana dia pemimpin-pemimpin yang mendabik dada memperjuangkan hak umat Islam. Mana dia lawyer-lawyer yang hebat-hebat itu? Takkan nak dibiarkan sahaja umat Islam di murtadkan. Kenapa Zulkifli Nordin menjdi bisu kelu. Bukankah beliau amat vokal dalam isu-isu yang seperti ini dulu. Siapakah yang akan membela dan mempertahankan hak-hak seorang bapa seperti Redhuan Abdullah dalam menjaga aqidah anak-anaknya. Bagaimana pula kes-kes yang seperti ini akan datang?

Mana dia NGO2 Islam. Takkan diam membisu sahaja. Janganlah nak diharapkan PERKASA sebab Mohd Redhuan adalah seorang India dan bukannya seorang melayu. Takkan lawyer2 hebat dalam Pas seperti Hanipa Maidin tak boleh membantu. Apa sebenarnya bidang tugas Lujnah Guaman dalam PAS. Kalaulah perjuangan Islam itu menjangkau batas-batas bangsa, maka kini Pas perlu kehadapan membela saudara kita, Mohd Redhuan Abdullah.

Di harapkan Dewan Pemuda Pas membuat sesuatu demi mempertahankan secebis aqidah anak-anak Redhuan Abdullah ini. Kalaulah kerana seorang Natrah, umat Islam digerakkan untuk menyelamatkan aqidah beliau bagaimana dengan 3 anak ini. Kalaulah Tun Salleh Abas meskipun seorang diri pernah membuktikan beliau sanggup mempertahankan aqidah seorang anak perempuan cina di Kota Bharu meskipun beliau akhirnya dipecat.

Sekarang siapa yang nak mempertahankan aqidah anak-anak Redhuan? Takkan nak diharapkan Karpal Singh pulak. Apakah isu ini sensitif kepada Pas demi menjaga kepentingan politik. Bagaimana pula M Kulasegaran yang menjadi peguambela kepada Indira Gandhi. Atas pertimbangan apa ianya dilakukan?

Isu agama ini lebih penting daripada kenaikan harga gula. Lebih utama daripada isu minyak dan gas. Kalaulah Umno sudah tidak boleh diharapkan untuk pembelaan ini. Apakah Pas boleh?

..............................................
Maka apakah tindakan kita yang kononnya mengaku pembela agama yang sanggup berkorban apa sahaja. Ya Allah ! berikan kekuatan kepada semua umat dan Islam untuk mengharungi dan melaksanakan gerak kerja dakwah di atas muka bumi ini. Timbang-timbangkan lah, wallahu `aklam

Selasa, 20 Julai 2010

Akademi Fantasia ! antara Hiburan dan Wabak ( Virus )





Tirai Akademi Fantasia ke 8 , sudah melabuhkan tirainya , namun bahangnya masih saya terasa kerana dua finalis yang menyertainya adalah bekas pelajar yang pernah saya didik mereka pengetahuan Islam. Sebak di hati bila melihat mereka beraksi di pentas yang ditonton oleh jutaan rakyat Malaysia. Namun, apa boleh buat.... kerana itu sudah menjadi minat mereka. Tekanan bertambah apabila sahabat-sahabat `Guru Pendidikan Islam` yang saya kira tidak juga melaksanakan apa-apa usaha dakwah dan hanya sekadar mengajar matapelajaran Pendidikan Islam di sekolah. tak lebih dari itu turut menghentam saya, kononnya sayalah penyebab `mereka` menyertai AF 8.

Guru saya pernah berpesan, usaha dakwah mesti diteruskan walau menghadapi segunung dugaan. sesungguhnya sudah menjadi fitrah dalam berdakwah untuk mengharungi rintangan dan kepayahan. Nabi SAW juga terpaksa menghadapi pelbagai kesusahan dalam menyampaikan risalah dakwah Islam.

Bagi saya, tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu Islam dan menerapkan kaedah pemakaian Islam yang sebenar sudah tertunai. malah saya mendidik mereka melalui penyertaan mereka dalam kumpulan nasyid. Ini kerana , saya tahu mereka berminat dalam hiburan. oleh itu saya cuba mewujudkan kumpulan nasyid bagi mengekang minat mereka kearah yang melampau. Hakikatnya, saya hanya sekadar penyampai apa yang difikirkan perlu.... Natijahnya, Allah SWT yang menentukan segala sesuatu. Hidayah adalah milik Allah. Oleh itu, saya bertekad untuk meneruskan lagi usaha ini biarpun melalui dugaan yang sekecil ini jika dibandingkan dengan dugaan para nabi dan rasul.
justeru itu, saya mengambil pendekatan mendekati mereka secara lembut dengan sentiasa mengambil berat tentang hal mereka di samping memantau aktiviti mereka supaya tidak terlalu melampau.

Di sini saya titipkan satu artikel yang saya rasakan penting untuk renungan bersama:

SAYA berusia 20 tahun, pelajar perubatan tahun dua, tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di United Kingdom (UK).

Saya baru sahaja menamatkan pengajian tahun pertama dan pulang ke tanah air untuk bercuti kira-kira sebulan yang lepas.

Tidak saya sangka, selama sembilan bulan berada di luar negara, muncul begitu banyak rancangan realiti televisyen.

Malah jika dibuat perbandingan, sememangnya konsep rancangan realiti TV di Malaysia saling tidak tumpah dengan rancangan realiti TV di UK.

Di UK, saya dapat menerima (walaupun tidak bersetuju) kehadiran program-program sedemikian yang sememangnya sudah sebati dengan nilai-nilai dan norma kehidupan masyarakat di sana.

Saya ingin menyatakan seteguh-teguh sokongan terhadap teguran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke atas program-program sebegini.

Rancangan sebegini, yang suka saya istilahkan sebagai RRH (Rancangan Realiti Hedonis), sememangnya tidak langsung menyumbang kepada pembangunan minda golongan muda yang menepati aspirasi kerajaan.

Malah RRH adalah bertentangan terus dengan konsep Islam Hadhari yang diuar-uarkan kerajaan.

RRH lebih banyak melalaikan golongan muda daripada tanggungjawab mereka yang lebih besar; menuntut ilmu demi menyediakan diri sebagai pemimpin pelapis negara.

Jika trend semasa berterusan, saya tidak hairan andai suatu hari nanti, negara kita menjadi seperti Filipina, mengangkat artis-artis sebagai pemimpin (Presiden Estrada).

Dan kita sememangnya tidak mahu remaja Islam-Melayu yang lemah pegangan Islam dan miskin nilai budaya dan lebih gemar untuk galak berpelukan, memegang panji penerus perjuangan negara.

Saya amat meluat kepada sesetengah pendapat yang RRH dapat mengukuhkan hubungan antara ahli keluarga.

Ya, mungkin ada keluarga yang berkumpul dan sama-sama menonton rancangan sebegini.

Persoalannya, sudah habiskah rancangan yang lebih bernilai yang boleh disaksikan bersama-sama?

Di mana logiknya, jika dilihat dari pandangan jangka panjang, RRH yang menggalakkan budaya pergaulan bebas dapat mengukuhkan institusi keluarga?

Sebaliknya kemungkinan berlaku perpecahan keluarga akibat pembinaan keluarga yang tidak kukuh dek galaknya remaja-remaja ini bertukar-tukar pasangan cinta (jika tidak seks).

Dalam erti kata lain, berlaku skandal dalam rumah tangga.

Tambahan pula, jika sudah sekeluarga menghadap televisyen pada waktu-waktu utama ini, bilakah pula anak-anak akan menumpukan perhatian untuk mengulangkaji pelajaran?

Tidak hairanlah pelajar Melayu jauh ketinggalan; anak orang sibuk belajar, anak kita sibuk berhibur.

RRH juga mengancam perkembangan emosi yang sihat. Kesannya samalah juga dengan menonton terlalu banyak filem Hindustan.

Budaya air mata yang cuba diterapkan bukan sahaja menjelekkan, malah membuai perasaan penonton-penonton sehingga terbawa-bawa dalam kehidupan seharian.

Ini sekali lagi menjelaskan mengapa pelajar Melayu lemah; tidak menumpukan pelajaran dalam kelas rupanya.

Sebagai alternatif, program realiti bentuk lain boleh dihasilkan.

Contohnya, apa salahnya rangkaian televisyen yang sedang berlumba-lumba menghasilkan rancangan realiti meniru konsep yang digunakan oleh The Apprentice, yang bukan sahaja bersandarkan kepada unsur debaran semata-mata, malah mempromosikan budaya keusahawanan di kalangan khalayak penonton.

Contoh lain, rancangan yang mencabar ketahanan fizikal pesertanya seperti Explorace terbitan TV3.

Atau lebih baik lagi, terbitkanlah rancangan-rancangan yang menggalakkan anak-anak muda mendekatkan diri dengan budaya sains dan teknologi, contohnya rancangan realiti yang menguji kehebatan saintis-saintis muda.

Akhir kata, saya ingin memetik kata-kata tokoh budaya, Azah Aziz dalam Utusan Malaysia: "Kenapa perlu menangis dan berpeluk-peluk di khalayak ramai.''

Ke mana hilangnya budaya orang Melayu yang selama ini terkenal dengan sifat pemalu. Ia bukan realiti. Realiti TV konon. - IBNU HALIM, Kuantan, Pahang.

dari artikel ini , saya rasa perlu satu tindakan yang berterusan oleh semua penggerak dakwah untuk menangani masalah ini. Pihak Kerajaan juga mesti berlapang dada untuk menilai semula rancangan-rancangan rialiti hiburan agar tidak bercanggah dengan matlamat dan konsep Islam yang diperjuangkan. Timbang-timbangkan lah... Wallahu `aklam.

Isnin, 19 Julai 2010

Rokok - masalah atau musibah. ?

Nikmat Yang Membawa Celaka
Setiap sedutan pasti membawa padah.Menghisap dan ketagihan hanyalah nikmat yang memberi masaalah kepada mereka yang menghisap rokok. Berpandukan kepada fakta, ketagihan dadah dan rokok akan memberikan kesan buruk terhadap diri, keluarga dan masyarakat. Malah ia akan memusnahkan nilai murni sifat kemanusian.

Rokok mengandungi tar, nicotine dan bahan kimia lain yang mendedahkan kita kepada penyakit paru-paru seperti barah dan tibi.Malah dengan kekerapan merokok, ia akan menjadi pendek umur. Setiap sedutan asap rokok akan memberi kesan yang buruk kepada otak,dan akan mengakibatkan pendarahan. Inilah menjadi punca ramai dikalangan perokok perokok amat terdedah kepada risiko yang amat merbahaya dan pendek umur.

Kesan Terhadap Keluarga Dan Persekitaran
Anda sayang anak anda ? Isteri anda? Keluarga anda? Sudah pasti anda tidak mahu menjerumuskan mereka kepada bahaya hasil daripada kegiatan merokok anda . Kerana setiap saat anda menghisap rokok, dengan tidak sengaja orang-orang di sekitar anda menabung zat-zat karsinogenik yang menunggu waktu untuk berkembang menjadi penyakit. Ini bermakna , mereka juga terdedah kepada kemudaratan. Terutama anak-anak kecil yang sensitive kepada asap rokok .

Asap rokok merendahkan fungsi dan keaktifan peparu kerana peparu mereka masih dalam peringkat tumbesar. Asap rokok yang dihidu mengandungi sebanyak 4000 bahan kimia, 200 daripadanya adalah beracun dan 43 lagi boleh menyebabkan kanser. Kesannya , anak-anak cenderung untuk mengalami pneumonia, penyakit peparu dan juga penyakit lelah (asthma ).

Cegah Sebelum Parah
Jadi mengapa anda perlu merokok ? Sedangkan anda sendiri akan mengakibatkan musibah kepada orang lain. Anda sudah bersedia untuk berbelanja beratus-ratus ribu untuk menyelamatkan satu nyawa hasil tabiat buruk merokok anda ? Pilihlah jalan yang lebih selamat demi masa depan dan kebahagian anda sekeluarga .

Anda masih belum terlambat untuk bertindak memberhentikan ketagihan anda dengan cara yang lebih mudah dan tidak memerlukan terapi yang menelan belanja tinggi .

Kini di Malaysia ada satu produk yang boleh membantu penghisap rokok iaitu Super Detox. Ia boleh membantu anda kearah menyempurnakan niat murni anda untuk berhenti merokok . Ingat! Mencegah itu lebih baik dari mengubati . Oleh itu, dengan menggunakan produk Super Detox, anda akan menemui jalan mudah untuk melupakan asap rokok yang memusnahkan. Mudah-mudahan kita semua mendapat petunjuk dari Allah SWT, timbang-timbangkan lah , wallahu `aklam

Sabtu, 17 Julai 2010

Insuran Takaful vs Insuran Konvensional

Takaful dan insurans merupakan keperluan asas kepada kita semua. Takaful atau insurans merupakan teman yang membantu kita di kala susah. Samalah peranan seperti ibu bapa, sanak saudara, sahabat handai, kekasih hati, suami isteri dan lain-lain. Walau bagaimanapun tidak semua kawan dan saudara mampu membantu kita di kala susah terutama dari segi wang ringgit.

Kadang-kadang ada yang menjauhkan diri dari kita. Maka di saat ini insurans dan takaful dapat membantu kita. Dengan wang ringgit yang dibekalkan oleh produk takaful atau insurans, maka kita masih boleh bertahan dan menjalani kehidupan dengan selesa. Bahkan semua saudara mara dan sahabat handai akan lebih dekat dengan kita disebabkan `kuasa` wang.

Itulah lumrah kehidupan. Kita tidak boleh mengubah dunia. Tetapi kita boleh mengubah diri kita bagi menyesuaikan diri dengan dunia fana yang penuh cabaran ini. Maka insurans takaful adalah salah satu langkah awal bagi kita semua. Terdapat pelbagai jenis produk takaful yang ditawarkan dengan pelbagai faedah untuk kita nikmati. Kesimpulannya, umat Islam tidak mempunyai alasan lagi untuk memilih insurans konvensional yang jelas akan unsur-unsur Riba, Judi dan Gharar.

Untuk itu, takaful menyediakan perkhidmatan yang berdasarkan syariat Islam dan melalui pemantauan yang berterusan daripada panel syariah yang ditubuhkan. Maka tidak timbul masalah was-was dalam kalangan umat Islam masa kini. Malah ia juga memenuhi prinsip-prinsip insurans Islam seperti :

1. Saling bertanggungjawab
2. Saling bekerjasama atau Bantu membantu
3. Saling lindung-melindungi

SALING BERTANGGUNGJAWAB

Peserta-peserta rancangan insurans Islam bersetuju untuk saling bertanggungjawab diantara satu sama lain dengan niat yang ikhlas. Ini merupakan ibadah yang dituntut dalam Islam sebagaimana Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

`Kedudukan hubungan persaudaraan dan perasaan orang-orang beriman antara satu dengan lain seperti tubuh ( jasad ), apabila satu dari anggotanya tidak sihat, maka akan memberi kesan kepada keseluruhan badan`
( Hadis riwayat Al Bukhari dan Muslim )

`Seseorang mukmin dengan mukmin yang lain ( dalam sesebuah masyarakat ) seperti sebuah bangunan yang mana tiap-tiap bahagian dalam bangunan itu mengukuhkan bahagian-bahagian yang lain`
( Hadis riwayat Al Bukhri dan Muslim )

`Seseorang tidak boleh dianggap beriman sehingga ia mengasihi saudaranya sebagaimana is mengasihi dirinya sendiri`
( Hadis riwayat Al Bukhari dan Muslim )

SALING BEKERJASAMA ATAU BANTU-MEMBANTU

Setiap peserta insuran Islam juga bersetuju untuk bekerjasama antara satu sama lain. Aspek ini amat dituntut oleh Islam demi menyuburkan ketaqwaan umat Islam.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud :

2. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi'ar-syi'ar Allah[1], dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram[2], jangan (mengganggu) binatang-binatang had-ya[3], dan binatang-binatang qalaa-id[4], dan jangan (pula) mengganggu orang-orang yang mengunjungi Baitullah sedang mereka mencari kurnia dan keredhaan dari Tuhannya[5] dan apabila kamu Telah menyelesaikan ibadah haji, Maka bolehlah berburu. dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum Karena mereka menghalang-halangi kamu dari Masjidilharam, mendorongmu berbuat aniaya (kepada mereka). dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. dan bertakwalah kamu kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.

[1] Syi'ar Allah ialah: segala amalan yang dilakukan dalam rangka ibadat haji dan tempat-tempat mengerjakannya.

[2] maksudnya antara lain ialah: bulan Haram (bulan Zulkaidah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab), tanah Haram (Mekah) dan Ihram., maksudnya ialah: dilarang melakukan peperangan di bulan-bulan itu.

[3] ialah: binatang (unta, lembu, kambing, biri-biri) yang dibawa ke ka'bah untuk mendekatkan diri kepada Allah, disembelih ditanah Haram dan dagingnya dihadiahkan kepada fakir miskin dalam rangka ibadat haji.

[4] ialah: binatang had-ya yang diberi kalung, supaya diketahui orang bahwa binatang itu Telah diperuntukkan untuk dibawa ke Ka'bah.

[5] dimaksud dengan karunia ialah: keuntungan yang diberikan Allah dalam perniagaan. keredhaan dari Allah ialah: pahala amalan haji.

Maksud "Dan hendaklah kamu tolong menolong diatas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong diatas perkara dosa dan permusuhan" merupakan bukti utama betapa sikap bantu membantu merupakan salah satu akhlak mahmudah (terpuji).


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

`Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya , Allah SWT akan memenuhi hajatnya`
( Hadis riwayat Al Bukhari, Muslim dan Abu Daud )



`Allah SWT sentiasa menolong hamba selagi hamba itu menolong saudaranya`
( Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud )

SALING LINDUNG-MELINDUNGI

Para peserta rancangan insurans Islam juga bersetuju untuk saling lindung-melindungi antara satu sama lain dari sebarang kesusahan, bencana dan sebagainya. Sehubungan itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

`Demi diriku yang dalam kekuasan Allah SWT bahawa sesiapapun tidak masuk syurga kalau tidak memberi perlindungan jirannya yang terhimpit`.
( Hadis riwayat Ahmad )

`Tidak dikira beriman seseorang itu, kalau ia tidur nyenyak dengan perut kenyang sedangkan jirannya meratap kelaparan`
( Hadis riwayat Al Bazaar )

Untuk merialisasikan prinsip ini , penubuhan insurans Takaful yang berdasarkan syariat Islam adalah tepat sekali. Sehubungan itu , umat Islam mempunyai alternatif untuk mempunyai skim jaminan yang suci dari kemurkaan Allah. timbang-timbangkan lah... wallahu `aklam

Khamis, 15 Julai 2010

facebook...... apa kegunaannya?

Dewasa kini, masyarakat dilanda wabak dalam internet iaitu `facebook`. Kecil besar, tua muda semuanya memperkatakan perihal facebook. Saya pun terpanggil untuk membuat laman facebook sendiri dengan bantuan `murid` saya.

Melalui facebook saya dapat berhubung semula dengan sahabat-sahabat lama dan juga berkenalan dengan sahabat yang baru. Banyak maklumat terkini dapat diketahui secara langsung walaupun saya tak sempat untuk menonton siaran berita pada malamnya.

Sungguh berguna rupanya facebook ini. Namun timbul tandatanya dalam benak fikiran saya, adakah pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan jika wujud anasir-anasir yang tidak sihat. Misalnya laman facebook dijadikan sebagai agen untuk memperdagangkan manusia, begitu juga dengan aktiviti judi yang heboh baru-baru ini sempena `World Cup`.

Berbalik dengan facebook dan kegunaannya, saya cuba memasuki profil para remaja khususnya para pelajar saya. Apa yang saya dapati ada diantara mereka terlibat dalam kegiatan pergaulan yang agak melampau dengan gambar-gambar yang tidak layak ditunjukkan malah ada yang berposing bersama `special` mereka yang mengalah gaya pasangan suami isteri.

Amatlah dibimbangkan, keghairahan mereka berkongsi segala-galanya di dalam facebook, blog dan seumpamanya tanpa sedar mempergandakan dosa seseorang.

Kecuali jika diyakini dengan ilmu dan iman bahawa pengajaran BAIK dari apa yang ingin dikongsi tersebut atau ditanda sebagai ‘like' itu MELEBIHI UNSUR DOSA DAN BURUK.Sebagaimana drama-drama bermesej Islam, penuh pengajaran tetapi masih dilakonkan oleh pelakon mendedah aurat. Jika diyakini unsur positifnya melebihi dan negatif, tatkala itu mungkin wujudnya sedikit justifikasi untuk dipapar dan ditonjolkan dalam senarai drama diminati. Dengan niat agar orang lain turut mendapat pengajarannya.

Selain berkongsi minat terhadap hal yang disebut di atas, ada juga yang mendedahkan dosanya melalui gambar. Gambar seperti :

* ketika sedang minum arak,
* hadiri parti penuh maksiat,
* hadiri majlis dosa,
* sedang berpelukan lelaki wanita

Sekiranya semua yang disebut tadi dikongsi di facebook dan blog, kita bimbang individu terbabit tergolong di dalam kategori penyebar dosa dan pembuka aib diri sendiri. Nabi s.a.w memberi ingatan :-

كل أمتيمعافى إلا المجاهرين، وإن من المجاهرة أن يعمل الرجل بالليل عملا، ثم يصبح وقدستره الله عليه، فيقول: يا فلان عملت البارحة كذا وكذا، وقد بات يستره ربه، ويصبحيكشف ستر الله عليه

Ertinya: Setiap umatku (boleh) diampunkan keucali mereka yang mendedahkan (dosanya),ada di kalangan yang mendedahkan ini , melakukan suatu dosa di waktu malam,berpagi-pagi sedang Allah menutup keaiban dosa itu, namun tiba-tiba dia mendedahkan seraya berkata :" Wahai fulan, semalam aku lakukan itu dan ini"maka terhapuslah tutupan Tuhannya dan jadilah ia membuka (rahmat) Allah yang(sebelum ini) menutup keaibannya.( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

SEMBUNYIKAN DAN TAUBAT

Justeru itu, jadikanlah dosa peribadi disebabkan menonton filem bercampur maksiat, atau menyukai musik hedonisme, atau melakukan maksiat secara fizikal kerana zina, curi, tidak solat dan sebagainya, sama ada kecil atau besar yang dilakukan di rumah, tersembunyi adalah antara individu terbabit dengan Allah SWT. Tujuannya agar seseorang itu beroleh rahmat Allah dan diberi hidayah untuk bertaubat sebelum maut menjelma.

Mungkin disebabkan pendedahannya, apabila ia ingin atau telah bertaubat, sukar untuknya untuk memaklumkan kepada semua yang pernah mendengar atau mengetahui pendedahannya agar bertaubat sama, malah taubatnya juga mungkin diragui orang lain atau paling kurang, membawa masalah dalam hati seperti boleh menumbulkan riya'.

Justeru jalan terbaik atas apa jua bentuk dosa yang telah atau pernah dilakukan adalah SENYAP DAN SEMBUNYIKAN. Ia bukan hipokrit !tetapi ia dituntut oleh Allah dan RasulNya dan usahakan bertaubat. Hiprokrit adalah bagi mereka yang berpura-pura baik, tetapi dalam hal ini, si pelaku dosa hanyalah menyembunyikan dosanya. Tidak timbul persoalan dia cuba mengabui mata orangramai dan berpura-pura baik. Rasulullah bersabda :

اجْتَنِبُوا هَذِهِ الْقَاذُورَةِ الَّتِي نَهَى الله عَنْهَا فَمَنْأَلَمَّ فَلْيَسْتَتِرْ بِسَتْرِ الله وَلْيَتُبْ إِلَى الله. فَإِنَّهُ مَنْيُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ.

Ertinya : "Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah SWT. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azzawa Jalla." [Dikeluarkanoleh al-Hakim dalam al-Mustadrak,hadis no: 7615 dan beliau berkata: "Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya." Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.]

Pengecualiannya hanyalah apabila kes melibatkan aib dan dosa ini diajukan di mahkamah untuk menangani sesuatu kes, atau ketika merujuk kepada kaunselor diyakini untuk membantu dan ilmuan Islam untuk mengetahui hukum dan kaedah pemulihan.

Allah itu Maha Pengampun dan sentiasa menginginkan kita untuk bertaubat dan beristighfar, maka antara ciri taubat yang mudah diterima adalah apabila dosa tidak didedahkan. Didalam sebuah lagi hadis sohih disebutkan :-

أن النبيصلى الله عليه وسلم قال : يدني الله عبده المؤمن ، فيضع عليه كنفه ويستره ، فيقول: أتعرف ذنب كذا ؟ أتعرف ذنب كذا ؟ فيقول : نعم ، أي ربِّ ، حتى إذا قرره بذنوبه ، ورأىفي نفسه أنه قد هلك ، قال : سترتها عليك في الدنيا ، وأنا أغفرها لك اليوم

Ertinya: Nabi bersabda : (Di akhirat kelak) Allah akan menghampiri seorang hambanya yang mukmin lalu melindunginya lalu berkata : Adakah kamu tahu dosa kamu ini?Adakah kamu sedar dosa ini? Lalu jawab lelaki itu Ya Wahai Tuhan dan sehingga dia mengakui dosanya dan merasakan dia akan binasa (dihukum), Allah berkata : Aku telah menutupinya di dunia dahulu ( dari pengetahuan manusia), dan hari ini aku akan mengampunkannya ( Riwayat Al-Bukhari)

Jelas dari hadis di atas, dosa yang dilakukan dan tidak didedahkan berpeluang mendapat belas kasihan Allah di akhirat untuk diampuni. Namun bagi mereka yang telah lebih dahulu berbangga bercerita, mengiklan, promosi dan sebegainya sejak didunia lagi, dibimbangi tidak cukup layak mendapat belas kasihan dan rahmat Allah serta pengampunannya.

KESIMPULAN

Segeralah memadam paparan minat dan keterlibatan terhadap apa jua aktiviti, tayangan, muzik, bacaan selain untuk Allah,Rasul dan apa yang mendekatkan diri kepada keredhaan Allah. Walau sebanyak, sedalam manapun minat, sejauh manapun keterlibatan, sembunyikan ia, bukan bertujuan untuk menipu manusialain, tetapi agar dia tidak tergolong dalam kalangan berbangga dengan dosanya,mempromosi, membuka aib sendiri dan mengiklan kejahatan kepada orang lain.

Semaklah facebook kita, blog, website, forum dan sembangan harian agar tidak tersalah dan mempergandakan dosa.

Maka, di mana insan-insan yang mempunyai hati dan perasaan untuk menyelamatkan umat Islam masa kini untuk memberi peringatan dan bimbingan. Adakah hanya bila sudah berlaku sesuatu hal yang tidak baik baru masing-masing menunding jari siapakah yang bersalah...... timbang-timbangkan lah, wallahu `aklam.

Rabu, 7 Julai 2010

Dimanakah Guru Pendidikan Islam???

Bermula 7 Julai 2010, sebuah sekolah menengah di daerah Ranau telah menganjurkan temasya sukan sekolah. Penutupan majlis tersebut pada hari Jumaat bersamaan 9 Julai 2010. Begitu meriah para pelajar dan guru melaksanakan temasya tersebut. Rumah-rumah sukan masing-masing menampilkan atlitnya yang paling cemerlang.

Dalam keriuhan itu, terfikir dibenak saya, apakah peranan guru pendidikan Islam. Adakah hanya sekadar masuk ke kelas mengajar untuk menghabiskan sukatan yang ditetapkan? atau apa? Mungkin ini suatu kejutan bagi saya kerana ketika berada di sekolah lama, saya dan rakan-rakan yang lain amat prihatin dengan situasi para pelajar terutama dari segi etika pemakaian mereka di sekolah. Alhamdulillah , natijahnya walaupun hari sukan sekolah, pelajar perempuan muslim pastinya memakai tudung dalam setiap aktiviti. malah pelajar perempuan yang bukan Islam juga tidak memakai pakaian yang menjolok mata. namun tidak dinafikan bahawa itu suatu perkara yang bukan mudah untuk dirialisasikan.

Sehubungan itu, temasya sukan di sekolah baru ini, terasa begitu janggal apabila atlit2 sama ada muslim atau tidak , sama sahaja. Jika orang luar melihatnya, pasti tidak mengenali yang mana pelajar Islam atau sebaliknya. Atlit lelaki pula boleh dikatakan agak baik kerana terdapat juga yang memakai `track suit`.... ( seluar panjang )walaupun ada juga yang berseluar pendek. Malangnya atlit perempuan bukan sekadar seluar pendek, malah majoritinya hanya memakai seluar sendat yang hanya menutupi punggung mereka. saya pun terfikir.... dimanakah Ustaz dan `Ustazah` sekolah ini. Tidakkah mereka merasa akan tanggungjawab untuk menegur para pelajar ini. Dengan `husnuz zan` saya menyangka mungkin mereka ada memberi teguran namun tidak diendahkan para pelajar. Tetapi dimanakah pula peranan Pengetua dalam mengeluarkan satu garis panduan yang MESTI diikuti oleh pelajar.

Untuk itu, saya cuba menegur beberapa pelajar yang saya kenali, hasilnya mereka hanya tersenyum dan menjeling seolah-olah saya bercakap sesuatu yang salah dari segi undang-undang sekolah. Saya cuba mendapatkan makluman dari beberapa pelajar lain yang masih mengekalkan konsep menutup aurat tentang hal ini. Rupa-rupanya selama ini para pelajar yang mengikuti sukan atau sebarang aktiviti sekolah yang lain tidak pernah ditegur masalah aurat. malah untuk menyertai sukan digalakkan lagi memakai pakaian ketat tersebut. Saya menjadi keliru dengan makluman ini. Oleh itu, saya cuba persoalkan dengan seorang guru agama yang lain tentang hal ini, alangkah terkejutnya saya mendengarkan jawapannya "Ustaz lah yang pergi tegur mereka, saya tak pandai". Apabila saya mendesaknya lagi dengan mengingatkan tanggungjawab sebagai pendakwah... dengan sambil lewa jawapan diberikan "ala.. ikut saja kehendak sekolah". Bila saya perhatikan pakaian `ustazah` tersebut terus menjadikan saya diam. Malang untuk dikatakan .... mereka pula mempromosikan pakaian yang tak sesuai dengan seorang ustazah sebenar. Akhirnya , saya mendiamkan diri kerana nanti akan timbul masalah dikalangan guru pendidikan Islam pula. Persoalan saya masih tergantung..Kalaulah guru pendidikan Islam tidak membantu usaha ini, siapakah lagi yang boleh diharapkan ?. Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan dalam diri saya untuk terus menjalankan usaha dakwah ini. amin. timbang-timbangkan lah... wallahu `aklam

Sabtu, 3 Julai 2010

Guru Pendidikan Islam sebagai Pendakwah-sambungan





Contoh-contoh aktiviti

Guru Pendidikan Islam sebagai Pendakwah



Apabila menyebut sahaja soal dakwah maka ia merupakan bicara tanggungjawab terhadap umat Muhammad ke arah mengembangkan Islam. Sebagai seorang guru, nyata ia bukan merupakan perkara enteng yang dikesampingkan, lebih-lebih lagi bagi seorang guru Pendidikan Islam.

Umum mengetahui tugas seorang guru Pendidikan Islam memang menyampaikan ilmu terus kepada anak muridnya. Menghapuskan kejahilan, memperkukuh amalan, menerapkan nilai-nilai murni, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Tidakkah ia sudah dikira sebagai dakwah dan ibadah? Begitulah bertuahnya guru Pendidikan Islam yang sudah tersedia jalan menuju redha Allah di samping menjalankan tugas sebagai pendidik. Sudah tersedia jalan dan ruang berdakwah yang nyata berjalan seiring dengan tugas hakiki mendidik anak bangsa. Selain itu mereka merupakan pakar rujuk terutama dalam selok-belok agama bagi warga guru dan kakitangan sekolah. Inilah peluang-peluang yang dilihat seharusnya dimanfaatkan oleh guru Pendidikan Islam dalam meneruskan kesinambungan misi dakwah junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Allah telah menceritakan kepada kita bahawa umat Muhammad SAW adalah umat yang terbaik yang diutuskan untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sepertimana dinyatakan dalam surah Ali Imran ayat 110:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”

Di manakah ruangnya?

Ada yang bertanya di manakah ruangnya guru Pendidikan Islam ini berdakwah ketika berada di sekolah? Mereka adalah pakar rujuk yang diakui kredibiliti dari sudut ilmu dan kepakaran dalam bidang agama. Maka di sinilah mereka harus menggunakan kemampuan ilmu yang ada untuk menjernihkan kekeliruan apabila diajukan tentang persoalan berkait dengan akidah, syariah, hukum-hakam serta akhlak. Itulah ruangnya untuk mengemukakan panduan dan jawapan berdasarkan dalil-dalil al-Quran dan sunnah. Tidak salah untuk kita mengatakan guru Pendidikan Islam ini sebagai pakar rujuk kepada guru-guru, kakitangan pentadbiran serta murid-murid. Memang begitulah hakikatnya berdasarkan pengalaman saya yang sentiasa diajukan permasalahan agama daripada rakan-rakan guru yang inginkan kepastian. Cabaran kepada pendakwah di sekolah ini ialah usaha untuk memastikan ilmu sentiasa cukup di dada bagi memberikan jawapan kepada permasalahan tersebut.

Selain itu, gerak laku Guru Pendidikan Islam sentiasa menjadi perhatian warga sekolah ataupun murid-murid. Maka di sinilah peranan mereka untuk cuba menonjolkan akhlak Rasulullah SAW baik dari sudut percakapan, pakaian, pergaulan malah gaya berjalan pun sentiasa menjadi buah mulut orang. Inilah yang dikatakan sebagai dakwah dengan contoh teladan. Umum memang mengetahui andai ustaz dan ustazah ini berperilaku dengan akhlak yang sopan, baik tingkah laku, mudah didekati, tidak mustahillah mereka akan sentiasa menjadi guru yang cukup dihormati rakan dan lawan. Kehadiran mereka ke kelas pasti dinanti oleh murid, malah terleka lima minit datang kelas pun akan diingatkan oleh murid-murid . Bukankan menjadi pendakwah ini juga memerlukan kemahiran agar kita dapat menarik minat dan mempengaruhi orang lain? Seandainya anda mempunyai perwatakan seindah Rasulullah SAW pasti anak murid menjadikan anda contoh dan teladan untuk diikuti. Bahkan gaya rambut, pakaian serta cara bercakap pun akan ditiru oleh mereka.

Guru Pendidikan Islam boleh mencegah kemungkaran? Anda tidak perlu menunggu untuk dilantik sebagai Pegawai Penguatkuasa baru mencegah kemungkaran. Sebagai Guru Pendidikan Islam, anda mempunyai tanggungjawab yang amat berat untuk membetulkan segala kesilapan. Menegur untuk membetulkan keadaan tidak salah, asalkan kena dengan caranya. Itulah sebabnya Allah berfirman dalam surah an-Nahl ayat 125 yang bermaksud:

“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat daripada jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Kalaulah Guru Pendidikan Islam hanya mengajar hukum-hakam agama tetapi tidak mencegah kemungkaran yang berlaku di sekolah adakah mereka ini sudah menjalankan tugas dan amanah yang diberi? Memberi nasihat, menegur salah laku murid, menjadi orang tengah untuk menyelesaikan konflik rakan sekerja, meleraikan pergaduhan antara murid, itu semua tugas seorang pendakwah di sekolah. Namun segalanya harus dilakukan dengan penuh hikmah agar tiada seorang pun yang terguris hati dan perasaannya. Hikmah dalam menegur dan menasihati serta bijaksana dalam berhujah akan menjadikan guru Pendidikan Islam ini sebagai insan yang dihormati oleh semua warga sekolah.

Bagaimana caranya?

Jika anda merupakan guru Pendidikan Islam yang sudah agak senior dan dihormati, anda merupakan orang yang tepat untuk melaksanakan sesi tazkirah dan ceramah kepada warga pendidik dan murid-murid. Gunakanlah peluang yang diberikan sebagai pendakwah ini dalam perhimpunan, majis-majlis rasmi atau di mana-mana dan ketika yang dirasakan perlu.

Bagi guru Pendidikan Islam yang masih muda terutamanya guru-guru j-QAF yang masih baru di sekolah dan sedang membina hubungan yang baik dengan warga sekolah, anda mempunyai beberapa piihan untuk berdakwah.

Pilihan pertama bagi yang mempunyai kekuatan, peluang dan daya penarik yang baik, anda boleh terus berdakwah melalui sesi tazkirah, ceramah, sesi perbualan dan lain-lain lagi secara langsung.

Namun, bagi yang belum mempunyai kekuatan dan ruang, anda boleh menjadikan ruang penulisan sebagai platform untuk berdakwah. Gunakan kaedah ini dengan menulis artikel dakwah di suratkhabar, buletin panitia serta di mana-mana ruang penulisan yang ada. Malah kebetulan wujudnya laman sesawang `facebook` yang menjadi kegilaan masyarakat pelbagai lapisan. Topik penulisan berkisar tentang peranan dan tugas guru, kepimpinan, amanah dan lain-lain lagi. Ini merupakan kaedah dakwah secara tidak langsung tetapi berkesan menembusi dan menyentuh hati . Ia juga sedikit demi sedikit membina kredibiliti dan keyakinan kepada pendakwah muda untuk memulakan rentak dakwah. Di sekolah, wujudkan buletin Panitia Agama dan j-QAF untuk menerapkan artikel dan nasihat ringkas serta hadis dengan kata-kata hukama’ buat renungan warga sekolah. Jangan lupa untuk memuatkan ruangan uji minda dan sediakan hadiah kepada pemenang. Ia merupakan strategi supaya pembaca (sasaran dakwah) akan setia dan tertunggu-tunggu siri-siri buletin dakwah yang akan datang.

Berdasarkan pengalaman saya, anak-anak di sekolah sukakan aktiviti kesenian. Lihat sahaja andai diadakan pertandingan nasyid ketika perayaan Awal Muharam contohnya, pasti mereka sanggup berlatih dan bernasyid dengan bersungguh-sungguh. Di sinilah peluang Guru Pendidikan Islam untuk berdakwah. Rangkalah pendekatan dakwah yang menerapkan unsur kesenian dan aktiviti yang menarik yang bersesuaian dengan jiwa kanak-kanak dan remaja.

Tidak salah untuk menukar dan meniru format rancangan kesukaan remaja seperti Explorace, Cari Menantu, Akademi al-Quran kepada yang relevan dalam konteks kita di sekolah. Akademi Nasyid boleh ditubuhkan di sekolah dalam usaha pencarian bakat pelajar dalam bidang nasyid. Rancangan Akademi al-Quran juga boleh diadakan di sekolah dalam mencari bakat qari dan qariah muda di samping peluang untuk menerapkan ilmu taranum buat persediaan menghadapi Majlis Tilawah al-Quran (MTQ). Bahkan ada pula siri rialiti yang baru iaitu Imam Muda yang begitu baik untuk diaplikasi dalam usaha dakwah ini dalam iklim persekolahan. Penjenamaan semula aktiviti Islam dengan menamakan program tersebut seperti ‘Karnival Jom Cintai Rasul’, ‘Kempen Smart Salam’, ‘Mencari Cinta Rasul’, ‘Kem Bestari Solat’, ‘Perkampungan Bestari’, ‘Perkampungan Ilmu’, ‘Perkampungan Dakwah’, ‘Bersamamu Guru’ atau ‘Minggu Semarak Pendidikan Islam’ dirasakan perlu dalam memberikan nafas baru untuk menarik minat murid-murid menyertai aktiviti yang diadakan.

Kesimpulannya, ruang dakwah untuk guru Pendidikan Islam amat terbuka luas. Cuma tepuk dada tanyalah iman, sama ada anda guru Pendidikan Islam yang hanya mengajar mengikut sukatan pelajaran tahunan atau guru yang bertindak sebagai pendakwah di sekolah dengan mengajak kepada kebaikan, menghapus kejahilan dan menentang kemungkaran. Sesungguhnya tanggungjawab sebagai guru Pendidikan Islam menuntut seribu satu pengorbanan dan teladan bagi insan yang mengimpikan suatu kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Jumaat, 2 Julai 2010

Adakah bukti yang menunjukkan Yesus itu Tuhan?




Kita semua telah mengetahui bahwa Yesus adalah seorang manusia yang dilahirkan dari seorang manusia lainnya. Semua ciri-ciri atau tanda-tanda bahwa dia adalah seorang manusia ada pada Yesus. Semua kelebihan yang dimiliki Yesus adalah ‘nilai tambah’ yang diberikan Tuhan kepada Yesus sang manusia seperti: lahir tanpa melalui proses pembuahan atau tanpa memiliki Ayah biologis serta mampu menghidupkan orang mati.

Jika kita termasuk orang yang percaya bahawa terdapat manusia pertama yang bernama Adam, maka kita sepakat bahawa Adam juga dilahirkan tanpa proses pembuahan dan bahkan tanpa sel telur sama sekali tidak beribu dan tidak berbapa.

Kemudian jika kita perhatikan kehidupan ini, ternyata ada beberapa jenis makhluk hidup yang melahirkan anaknya tanpa melalui proses pembuahan juga.. Dan itu adalah rutin mereka dalam memiliki anak.

Ringkasnya, tidak memiliki Ayah bukanlah suatu mukjizat yang luar biasa..

Kemudian, apakah kemampuan menghidupkan orang mati menjadi sebab sehingga kita menganggap Yesus manusia itu Tuhan?

Bagi para pemuja Yesus sebagai Tuhan, tentu sahaja tersedia banyak ayat di Alkitab yang dapat mereka sajikan dengan segala kreatif penafsirannya.

Kembali lagi ke pokok permasalahan, dapatkah mereka ini menunjukkan bukti bahwa Yesus yang jelas-jelas manusia itu adalah Tuhan?

Mari kita lihat sedikit fakta dari AlKitab ... Markus 12:28 - Lalu seorang ahli Taurat yang mendengar Yesus dan orang-orang Saduki bersoal jawab dan tahu bahawa Yesus memberi jawab yang tepat kepada orang-orang itu, datang kepadanya dan bertanya : `Hukum manakah yang paling utama`. Markus 12:29 - Jawab Yesus : `Hukum yang paling utama ialah, Dengarlah hai orang Israel , Tuhan Allah kita, Tuhan itu Esa. Markus 12:30 - Kasihanilah Tuhan Allahmu dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan dengaan segenap akal budimu dan dengan segenap kekuatanmu.... Ini bertepatan dengan ajaran Islam.. Sesungguhnya solatku dan ibadahku dan hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan sekalian alam. Timbang-timbangkan lah........ wallahu `aklam

Sedekah







Setiap kali saya ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, maka akan bergeraklah kotak-kotak derma di hadapan para jamaah ketika mendengar khutbah yang disampaikan. Kadang-kadang terfikir pula saya akan peranan digerakkan kotak-kotak tersebut ketika khutbah disampaikan. Sedangkan kita dituntut untuk mendengar khutbah dengan sepenuh hati. Maka saya buat-buat tak nampak kotak di hadapan saya ketika itu. Ada ketikanya saya terdengar cakap-cakap para pelajar saya bahawa saya ini `cakap tidak serupa bikin`. Sewaktu dalam kelas saya amat memberi penekanan tentang fadhilat sedekah dan faedahnya. Namun, disebalik peristiwa itu saya memasukkan wang sedekah sekadar kemampuan sewaktu hendak keluar masjid.
Umumnya , sedekah menjadi pemangkin dalam menjana ekonomi umat Islam selain Zakat. Jika amalan ini dapat diperluaskan maka nasib umat Islam yang memerlukan akan terbela. Melalui Zakat, lapan golongan akan mendapat faedahnya, iaitu :-
1. Fakir
2. Miskin
3. Amil
4. Muallaf
5. Orang yang dibebani hutang
6. Hamba yang dijanjikan kemerdekaan
7. Fi Sabilillah
8. Ibnu sabil
Sehubungan itu , sedekah juga diberikan kepada golongan-golongan yang benar-benar memerlukan. Keutamaan sedekah ini dapat dilihat dalam maksud sabda Rasulullah SAW ..... Apabila mati anak adam, maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara :
1. Sedekah Jariah.
2. Ilmu yang bermanfaat.
3. Anak yang soleh mendoakan ibubapanya.
Zaman pemerintahan Saidina Usman bin Affan R.A, jelas menunjukkan betapa sedekah dapat mengubah keadaan hidup seseorang. Biarpun baginda seorang yang kaya, namun harta tersebut tidak langsung menjadikan baginda sombong dan bakhil. Malah, sikapnya lebih kuat tawadduk dan prihatin terhadap umat Islam. Sedekah juga tidak terhad kepada harta dan wang ringgit sahaja. Ini berdasarkan penjelasan nabi SAW tentang sedekah tersebut iaitu :-
1. Mendamaikan dua orang yang berbalah.
2. membantu orang naik kenderaan.
3. membantu angkat barang ke dalam kenderaan.
4. mengeluarkan kata-kata yang baik.
5. membuang duri dijalanan
keseluruhan ini dikira sebagai sedekah. Oleh itu, jika kita dapat membudayakan sedekah itu, umat Islam akan teransang untuk lebih berusaha memperbaiki ekonomi mereka. Budaya ini akan lebih bermakna dan menjadi biasa sekiranya dimulakan sejak usia muda. Sejak kanak-kanak lagi kita perlu mendidik anak-anak supaya membiasakan bersedekah. Allah SWT juga telah menjanjikan bahawa rezeki kita akan bersih dan bertambah jika kita melaksanakan tanggungjawab Zakat dan Sedekah. Sedekah juga melambangkan seseorang itu bersyukur atas nikmat yang Allah kurniakan kepada mereka. Maka seharusnya budaya sedekah ini bukan setakat hari jumaat sahaja, malah sedekah akan berlaku pada setiap hari sama ada waktu senang mahupun waktu susah. Timbang-timbangkan lah ....... wallahu `aklam

Aurat... persoalan di kalangan ahli agama.








Kini, busana muslimah tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. pelbagai fesyen telah ditonjolkan yang kononnya menepati kehendak syariat Islam. Bagi menarik perhatian umat Islam untuk membelinya, pelbagai kaedah digunakan sama ada menggunakan artis-artis terkenal mahupun selebriti agama masa kini. Secara tidak langsung mereka ini menjadi agen mempromosi busana muslimah tersebut. Persoalannya, sejauh manakah kebenaran fesyen yang dipamerkan itu menepati kehendak syarak.

Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan kita perihal tiga golongan yang berpakaian tetapi telanjang iaitu:-

1. Golongan yang mendedahkan auratnya.
2. Golongan yang `kononnya` menutup aurat tetapi pakaiannya jarang hingga menampakkan kulit dan bentuk tubuh.
3. Golongan yang `kononnya` menutup aurat tetapi pakaiannya ketat hinggakan jelas bentuk badannya.

Sehubungan itu, adakah busana muslimah ini mengambil kira akan kaedah penututan aurat berdasarkan Al Quran dan As Sunnah. Pernah dulu, sekitar tahun 1994 Pejabat Mufti Negeri Perak telah mengeluarkan fatwa tentang pakaian yang menghina Islam.

Cara-cara Menutup Aurat Bagi Wanita Dengan Betul Mengikut Perspektif
Islam

Firman Allah Taala(ayat 30 surah Annur)

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنّ الَّ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

30. Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih Suci bagi mereka, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat".

Ayat ini jelas memberikan satu garis panduan bagi umat Islam memelihara tatacara menutup aurat dengan memelihara kemaluannya, dan larangan terhadap mereka supaya tidak menampakkan perhiasannya, kecuali yang(biasa) nampak daripadanya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putra-putra mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.

Firman Allah lagi yang bermaksud :

Dan bertobatlah kamu sekalian kepada Allah,hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.(ayat 31 surah Annur)

Berdasarkan Ayat di atas jelas bahawa disana ada beberapa larangan, suruhan dan sebab larangan dan suruhan tersebut antaranya :-

1-Allah menyuruh kita menahan pandangan dari melihat perkara-perkara yg boleh menimbulkan syahwat (dari mata jatuh ke hati, dari hati menggerakkan kemahuan)

2-Allah menyuruh hambanya yang wanita dan lelaki menjaga kemaluan. Dalam Islam kemaluan ini ialah semua aurat ,bagi lelaki dari lutut hingga ke pusat manakala bagi wanita seluruh badannya kecuali muka dan tapak tangan, menjaga bermakna melindungi kemaluan dari melakukan perkara yang haram atau membawa kepada perkara yang haram. Diantara perkara yang haram ialah mendedahkan aurat,menggoda, berzina dan sebagainya.

3- Allah melarang wanita dari menunjukkan perhiasannya kecuali muka dan tapak tangan.Disini Allah mengatakan bahawa wanita itu adalah perhiasan.Maksud perhiasan disini ialah seluruh tubuh wanita itu.

4-Allah menyuruh wanita memakai tudung menutup kepalanya hinggalah ke dada, ini bermakna tudung itu mestilah dilabuhkan ke bahagian dada.Jadi, jika mereka hanya memakai tudung tapi tidak melabuhkan tudung itu ke dada, maka ia telah mengingkari separuh dari arahan tersebut..mengingkari arahan Allah adalah haram.

5-Allah membenarkan semua wanita untuk menunjukkan sebahagian perhiasan atau aurat
mereka kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putra-putra saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam.

Dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w mengatakan bahawa pakaian wanita mestilah tebal, tidak jarang, berwarna gelap (tidak kisah berwarna apa) dan tidak kelihatan bentuk tubuh.

Masalah berhias dalam memakai tudung atau mengenakan perhiasan mestilah tidak melampau dari kelaziman malah jangan berlebihan dan perlu dengan niat yang baik dan bukan untuk riak. Perlu difahamkan, bahawa Allah dan rasul-Nya dan Islam itu sendiri menetap dan menyuruh berbuat demikian adalah bukan untuk mengongkong, menyusahkan, mendera dan lain-lain. Malahan Allah dan rasul-Nya dan Islam lah yang bersungguh-sungguh menjaga kehormatan wanita, menjaga kemulian wanita, menjaga dan melindungi wanita dari perkara-perkara yang tidak diingini oleh diri wanita itu sendiri. Selain itu, bahawa pemakaian mengikut Islam dapat mengurangkan jenayah seperti rogol,zina,dan pelacuran.

Jika hal ini diteliti dengan lebih mendalam fesyen-fesyen tudung muslimah masa kini yang jelas menampakkan bentuk tubuh serta adakalanya menampakkan tengkok muslimah itu sendiri. Contohnya Tudung bawal dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya. Begitu juga halnya dengan fesyen-fesyen baju yang jelas bercanggah dengan syarak jika dilihat dari aspek `Tabarruj`.

Masalahnya, bagaimana para pendakwah Islam yang ikhlas hendak menyampaikan maklumat dan cara pemakaian Islam yang sebenar memandangkan banyak `Ustazah` yang turut mempromosikan busana muslimah ini yang kononnya menepati syarak di media massa dan juga siaran TV. Fenomena ini telah menyebabkan umat Islam membuat andaian boleh aktif dalam apa jua aspek hiburan asalkan bertutup kepala. Contohnya ada finalis Akademi Fantasia (AF) menjadi contoh dengan alasan mereka juga bertutup kepala. kalau begitulah keadaannya , maka pakaian yang digunakan oleh peserta rancangan BOLOS akan dikira sebagai menutup aurat.

Ini amat kritikal sehingga remaja perempuan masa kini sudah berani mencabar guru-guru agama dan pendakwah masa kini dengan alasan `lihat ustazah pakai macam tu boleh pun`. Maka secara tidak langsung akan menampakkan Islam itu tidak selaras dan lemah. Seharusnya `Ustazah` tersebut komited terhadap kaedah menutup aurat yang sebenar.

Satu soalan yang amat mudah..... Adakah menutup aurat bagi perempuan ketika solat dan di luar solat itu berbeza? Jika persoalan ini dapat dijawab, maka masalah aurat masa kini tidak akan timbul. Kadang-kadang ada umat Islam yang memberi alasan tidak dapat menunaikan solat hanya dengan tidak membawa `telekung`. Oleh itu, adakah pakaian perempuan tersebut sudah menepati syarak sebagai menutup aurat sedangkan mereka memakai pakaian dari busana muslimah tersebut. Timbang-timbangkan lah persoalan ini........ Untuk mendapatkan hasil yang baik dari usaha dakwah yang dijalankan mestilah dilakukan dengan menepati kehendak syarak itu sendiri. wallahu `aklam

Assalamualaikum, Ahlan Wasahlan

Selamat Datang ke blog ini, semoga perkongsian ilmu ini akan dapat keberkatan dari Allah SWT serta menjadi laman Dakwah Islamiah yang efektif di alaf ini, insyaAllah.