Khamis, 26 Ogos 2010

PAFA - Berkesankah terhadap pelajar?



Salam,
Bulan Ramadhan kembali lagi dengan keberkatan yang tiada bandingan. Allah SWT mengganjarkan pahala yang berlipat kali ganda bagi amalan hambaNya pada bulan ini. Namun ketika ini juga dugaan makin bertambah. Mudah-mudahan Allah SWT memberi kekuatan dalam diri hambaNya ini bagi melaksanakan segala kewajipan.

Bulan ini juga, kebetulan saya mengadakan ujian PAFA bagi para pelajar saya (tingkatan 1 , 2 dan ada juga pelajar-pelajar tingkatan 5 ), apa yang menarik perhatian ialah gelagat para pelajar yang `memaksa diri` untuk mula menghafaz isi kandungan buku PAFA yang dibekalkan oleh Bahagian Kurikulum Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Amnya para pelajar muslim akan diuji tiga kali selama menjadi seorang pelajar sejak sekolah rendah hingga menengah. Ujian pertama dilakukan apabila para pelajar muslim itu berada dalam tahun 6. Ujian kali kedua apabila mereka berada dalam tingkatan 3 , dan ujian terakhir ketika berada dalam tingkatan 5. Sepanjang mereka berada di alam sekolah rendah, mereka seharusnya telah memahami segenap aspek isi kandungan dalam buku PAFA. Ini kerana, mereka sudah belajar selok belok yang terkandung didalamnya.

Masalahnya, mengapa setiap kali diuji, barulah mereka bermati mati hendak menghafaz isi kandungan buku PAFA tersebut. Oleh itu, adakah PAFA ini hanya perlu sewaktu ujian sahaja ? Sedangkan setiap isi kandungan tersebut adalah amalan yang perlu dilaksanakan setiap hari sebagai seorang muslim. Contohnya , jika seseorang itu telah melakukan solat lima waktu setiap hari. Mustahil mereka akan tidak dapat menerangkan kaedah wudu` dan pelaksanaan solat serta bacaan di dalam solat. Mengapa perlu di hafaz semula.......... kesimpulannya para pelajar itu tidak pernah melaksanakan amalan-amalan wajib di rumah ataupun di mana-mana jua. Persoalannya `Berkesankah PAFA dalam menjadikan para pelajar sebagai muslim sejati ?`

Saya teringat suatu ketika , dalam kursus kurikulum Pendidikan Islam anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Kementerian Pelajaran Malaysia. Para guru pendidikan Islam dikerahkan secara drastik untuk melaksanakan nilai-nilai Islam Hadhari. Kerahan tersebut dirasakan terlalu `WAJIB` hinggakan wujud proses pemantauan di peringkat `akar umbi`..... jika difikirkan berapa banyak kos yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Islam dan Moral bagi membiayai elaun-elaun pegawai yang keluar ke sekolah-sekolah untuk pemantauan tersebut. Ketika kursus itu, saya secara peribadi telah mempersoalkan `Konsep PAFA` dan keberkesanannya. Malah saya juga telah mencadangkan agar pihak tertentu untuk mengkaji semula aspek pelaksanaanan PAFA di sekolah rendah dan menengah. Namun hingga sekarang belum ada apa-apa perkembangan.

Maka begitulah kejadiannya PAFA bagi sekolah-sekolah dan Guru Pendidikan Islam menjalankan rutin yang menjadi kebiasaan. Seterusnya perkara yang menyedihkan itu akan berulang kali pada setiap tahun dan begitulah untuk tahun seterusnya. Oleh itu... para pelajar akan berterusan begitu. mudah-mudahan saya akan diberi kekuatan untuk terus menggandakan usaha dalam memyampaikan ajaran Islam kepada para pelajar saya... amin. Bila dipersoalkan tentang keberkesanan PAFA.... tepuk dada , tanyalah ibu bapa pelajar. Adakah pelajar-pelajar tersebut mengamalkan segala isi kandungan PAFA di rumah. wallahu `ak lam ... timbang-timbangkanlah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan