Isnin, 2 Ogos 2010

Kakak pakai baju adik?





Salam..... baru-baru saya ada mengikuti seminar kepimpinan pelajar Islam anjuran sebuah NGO Islam. Dari penelitian saya, modul dan bahan-bahan yang disampaikan amat baik dan sewajarnya disampaikan kepada semua pelajar Islam. Namun bila saya melihat kepada penampilan para pesertanya malah fasilitatornya ( khusus kepada jantina perempuan ) menyebabkan saya teringat kepada sebuah Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Abu Hurairah R.A yang bermaksud :

"Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka, Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka ( sanggul / fesyen rambut ) bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga boleh terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh". ( Riwayat Muslim no. 3971 )

Dalam riwayat Imam Malik ada sambungan hadis ini iaitu : ".... Bau wangi syurga dapat dihidu dari jarak 500 tahun perjalanan". ( Al Muawatta` no. 1421 )

"... Berpakaian tetapi telanjang" apakah maksud sebenarnya........
Imam An Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa ada beberapa makna.
Antaranya :

* Perempuan yang menutup sebahagian auratnya dan membuka sebahagian yang lain atau memakai pakaian yang nipis sehingga menampakkan bentuk badannya *

Di dalam kitab Al Muntaqa ( Syarah Al Muwatta` .... Imam Malik ) pula , ditambah dengan pengertian memakai pakaian tetapi terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk badan.

Berbalik kepada situasi seminar tersebut, saya dapati hampir 80 % peserta perempuan yang memiliki ciri-ciri golongan yang dinyatakan dalam hadis tersebut dan hanya dua atau tiga orang sahaja yang bertudung labuh dalam kalangan fasilitator wanita. Manakala fasilitator lelaki pula jelas menampakkan `aura` pemimpin Islam yang sejati malah boleh dijadikan model kepada para peserta.

Persoalannya ... adakah menutup aurat hanya sekadar menutup kepala ( rambut ) dari pandangan orang lain. Berbezakah menutup aurat ketika solat dan di luar solat?

Walaupun, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama mazhab tentang `kaki` wanita. Adakah termasuk dalam had aurat? Jumhur ulama sepakat mengatakan kaki wanita juga aurat yang mesti ditutup ( menggunakan sarung kaki ). Hujah ini dikuatkan dengan hadis Rasulullah SAW, dilaporkan oleh Ibn Umar yang bermaksud :

"Allah tidak melihat kepada sesiapa yang mengheret pakaiannya yang labuh kerana bermegah. Ummu Salamah bertanya : bagaimana wanita patut lakukan dengan hujung-hujung pakaian mereka yang labuh?. Baginda menjawab : Labuhkan sekadar sejengkal".

Teringat saya ketika menjadi Jurulatih Dakwah, Unit Dakwah dan Kepimpinan, JPN Sabah. Dalam kursus-kursus yang diadakan itu, para peserta wanita ( USTAZAH ) jelas sekali tidak mengambil berat tentang pakaian menutup aurat yang sebenar. Hanya segelintir sahaja Ustazah yang betul-betul memiliki `Aura` seorang Ustazah. Walaupun sudah berkali-kali `Ustazah-ustazah` tersebut diingatkan akan kewajipan menutup kaki , malah dinyatakan secara bertulis di dalam peraturan kursus. Namun segalanya bagai debu di jalanan yang terbang apabila ditiup angin. Langsung tidak ada perasaan untuk takut akan kemurkaan Allah SWT.

Saya pernah bertanya tentang kenapa penampilan mereka sebegitu rupa, jawapannya :

`Sesungguhnya Allah tidak membebankan hambaNya dengan perkara yang tidak mampu dilakukan. Oleh itu , kita buat sekadar kemampuan sahaja lah`

Waduh!!!!!! mantap jawapan tersebut. Tetapi , bila saya risik-risik akan pemakaian mereka sewaktu bergelar pelajar perempuan sama ada di sekolah menengah atau pun di universiti.... jelas menunjukkan mereka pernah membiasakan diri dengan tudung labuh malah ada yang `pernah` berjubah. Maka , terfikir pula... mengapa dahulunya `mampu` berpakaian sebegitu, tetapi sekarang `tidak mampu` lagi. adakah mereka sudah `UZUR` sehinggakan tidak lagi mampu menahan `BERAT` tudung labuh. Persoalan ini hanya mereka sahaja yang dapat menjawabnya di hadapan Allah SWT. Kadang-kadang , lagi tinggi status akademik seseorang , maka bertambah bodoh mereka dalam membela diri. Ini berlaku apabila saya cuba mendesak `Ustazah-ustazah` tersebut atas faktor peraturan kursus dan bukannya faktor `hukum`. Respon mereka terhadap saya iaitu, mereka menyalahkan saya dengan alasan saya sibuk-sibuk menyuruh orang lain , kenapa saya pula tidak memakai kopiah atau `lebai` sebagai tanda seorang `ustaz`. Tak kan lah seorang ustazah tidak boleh menilai yang mana satu hukumnya `Wajib` dan yang mana satu hukumnya `Sunat`.

Hakikatnya, dahulu ...sekiranya seseorang pelajar dari sekolah menengah agama kelolaan majlis agama negeri ( sekolah menengah agama rakyat ) akan berbeza penampilannya dengan pelajar dari sekolah menengah agama kementerian Malaysia. Mungkin faktor `budaya` bertudung labuh ini tidak menjadi keutamaan. Pengalaman saya di ke dua-dua sekolah ini, sememangnya ketara perbezaannya. Penerapan nilai di SMKA itu amat kurang dibandingkan dengan sekolah menengah agama rakyat. Ini adalah satu rialiti ...... bagi sesiapa yang menjadi pelajar sekitar sebelum tahun 1990 an.

Allah berfirman dalam surah Al Ahzab ayat 59 yang bermaksud :

"Wahai Nabi , suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka melabuhkan pakaian bagi menutup tubuhnya".

Surah An Nur ayat 31, Allah berfirman yang bermaksud :

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman , supaya menahan pandangan mereka ( daripada memandang perkara-perkara yang haram ) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Dan mereka perlu melabuhkan kain tudung mereka bagi menutupi dadanya".

Dewasa kini, sudah menjadi `trend` wanita Islam pelbagai lapisan umur memakai pakaian `see through` kononnya mengikut peredaran zaman, walaupun ada `inner`. Malah ada yang merasakan sudah sempurna menutup aurat apabila hanya menutup rambut dengan pelbagai fesyen yang menghina Islam.

Satu soalan yang sentiasa berlegar di fikiran saya, dalil apakah lagi yang diperlukan oleh `USTAZAH-USTAZAH` ini untuk menampilkan diri mereka sebagaimana kehendak Allah dan Rasul. Hinggakan seorang pensyarah saya yang bergelar Dr. kerana memiliki PHD ( Fakulti Pengajian Islam ) dengan berani mengeluarkan `Fatwanya`:

"Sesungguhnya Al Quran tidak menerangkan dengan jelas kod etika menutup aurat. Oleh itu , selagi tidak bercanggah dengan syariat , maka wanita Islam boleh bergaya".

Benarkah? Dimana letaknya ayat-ayat yang jelas memerintahkan supaya melabuhkan pakaian menutupi tubuh dan khususnya menutupi dada? Dimana syarah-syarah para Ulama Muktabar tentang `Tabarruj`. Walaupun saya tidak lah memiliki ilmu sebegitu tinggi, namun saya merasakan jika kita faham dengan sebenar-benarnya konsep aurat berdasarkan Al Quran dan Hadis Rasulullah SAW serta memahami konsep Tabarruj. Maka sudah tentu tidak akan wujud fesyen-fesyen `Muslimah` yang menghina Islam secara terang-terang walaupun dipromosikan oleh `selebriti agama TV` melalui penampilan mereka dalam rancangan-rancangan TV.

Memandangkan hal ini pun tidak dapat diselesaikan oleh pendokong-pendokong agama, bagaimana mungkin ` mad`u ` dapat memahami konsep Islam yang sebenar. Timbang-timbangkan lah. Wallahu `aklam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan