Selasa, 20 Julai 2010

Akademi Fantasia ! antara Hiburan dan Wabak ( Virus )





Tirai Akademi Fantasia ke 8 , sudah melabuhkan tirainya , namun bahangnya masih saya terasa kerana dua finalis yang menyertainya adalah bekas pelajar yang pernah saya didik mereka pengetahuan Islam. Sebak di hati bila melihat mereka beraksi di pentas yang ditonton oleh jutaan rakyat Malaysia. Namun, apa boleh buat.... kerana itu sudah menjadi minat mereka. Tekanan bertambah apabila sahabat-sahabat `Guru Pendidikan Islam` yang saya kira tidak juga melaksanakan apa-apa usaha dakwah dan hanya sekadar mengajar matapelajaran Pendidikan Islam di sekolah. tak lebih dari itu turut menghentam saya, kononnya sayalah penyebab `mereka` menyertai AF 8.

Guru saya pernah berpesan, usaha dakwah mesti diteruskan walau menghadapi segunung dugaan. sesungguhnya sudah menjadi fitrah dalam berdakwah untuk mengharungi rintangan dan kepayahan. Nabi SAW juga terpaksa menghadapi pelbagai kesusahan dalam menyampaikan risalah dakwah Islam.

Bagi saya, tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu Islam dan menerapkan kaedah pemakaian Islam yang sebenar sudah tertunai. malah saya mendidik mereka melalui penyertaan mereka dalam kumpulan nasyid. Ini kerana , saya tahu mereka berminat dalam hiburan. oleh itu saya cuba mewujudkan kumpulan nasyid bagi mengekang minat mereka kearah yang melampau. Hakikatnya, saya hanya sekadar penyampai apa yang difikirkan perlu.... Natijahnya, Allah SWT yang menentukan segala sesuatu. Hidayah adalah milik Allah. Oleh itu, saya bertekad untuk meneruskan lagi usaha ini biarpun melalui dugaan yang sekecil ini jika dibandingkan dengan dugaan para nabi dan rasul.
justeru itu, saya mengambil pendekatan mendekati mereka secara lembut dengan sentiasa mengambil berat tentang hal mereka di samping memantau aktiviti mereka supaya tidak terlalu melampau.

Di sini saya titipkan satu artikel yang saya rasakan penting untuk renungan bersama:

SAYA berusia 20 tahun, pelajar perubatan tahun dua, tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di United Kingdom (UK).

Saya baru sahaja menamatkan pengajian tahun pertama dan pulang ke tanah air untuk bercuti kira-kira sebulan yang lepas.

Tidak saya sangka, selama sembilan bulan berada di luar negara, muncul begitu banyak rancangan realiti televisyen.

Malah jika dibuat perbandingan, sememangnya konsep rancangan realiti TV di Malaysia saling tidak tumpah dengan rancangan realiti TV di UK.

Di UK, saya dapat menerima (walaupun tidak bersetuju) kehadiran program-program sedemikian yang sememangnya sudah sebati dengan nilai-nilai dan norma kehidupan masyarakat di sana.

Saya ingin menyatakan seteguh-teguh sokongan terhadap teguran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke atas program-program sebegini.

Rancangan sebegini, yang suka saya istilahkan sebagai RRH (Rancangan Realiti Hedonis), sememangnya tidak langsung menyumbang kepada pembangunan minda golongan muda yang menepati aspirasi kerajaan.

Malah RRH adalah bertentangan terus dengan konsep Islam Hadhari yang diuar-uarkan kerajaan.

RRH lebih banyak melalaikan golongan muda daripada tanggungjawab mereka yang lebih besar; menuntut ilmu demi menyediakan diri sebagai pemimpin pelapis negara.

Jika trend semasa berterusan, saya tidak hairan andai suatu hari nanti, negara kita menjadi seperti Filipina, mengangkat artis-artis sebagai pemimpin (Presiden Estrada).

Dan kita sememangnya tidak mahu remaja Islam-Melayu yang lemah pegangan Islam dan miskin nilai budaya dan lebih gemar untuk galak berpelukan, memegang panji penerus perjuangan negara.

Saya amat meluat kepada sesetengah pendapat yang RRH dapat mengukuhkan hubungan antara ahli keluarga.

Ya, mungkin ada keluarga yang berkumpul dan sama-sama menonton rancangan sebegini.

Persoalannya, sudah habiskah rancangan yang lebih bernilai yang boleh disaksikan bersama-sama?

Di mana logiknya, jika dilihat dari pandangan jangka panjang, RRH yang menggalakkan budaya pergaulan bebas dapat mengukuhkan institusi keluarga?

Sebaliknya kemungkinan berlaku perpecahan keluarga akibat pembinaan keluarga yang tidak kukuh dek galaknya remaja-remaja ini bertukar-tukar pasangan cinta (jika tidak seks).

Dalam erti kata lain, berlaku skandal dalam rumah tangga.

Tambahan pula, jika sudah sekeluarga menghadap televisyen pada waktu-waktu utama ini, bilakah pula anak-anak akan menumpukan perhatian untuk mengulangkaji pelajaran?

Tidak hairanlah pelajar Melayu jauh ketinggalan; anak orang sibuk belajar, anak kita sibuk berhibur.

RRH juga mengancam perkembangan emosi yang sihat. Kesannya samalah juga dengan menonton terlalu banyak filem Hindustan.

Budaya air mata yang cuba diterapkan bukan sahaja menjelekkan, malah membuai perasaan penonton-penonton sehingga terbawa-bawa dalam kehidupan seharian.

Ini sekali lagi menjelaskan mengapa pelajar Melayu lemah; tidak menumpukan pelajaran dalam kelas rupanya.

Sebagai alternatif, program realiti bentuk lain boleh dihasilkan.

Contohnya, apa salahnya rangkaian televisyen yang sedang berlumba-lumba menghasilkan rancangan realiti meniru konsep yang digunakan oleh The Apprentice, yang bukan sahaja bersandarkan kepada unsur debaran semata-mata, malah mempromosikan budaya keusahawanan di kalangan khalayak penonton.

Contoh lain, rancangan yang mencabar ketahanan fizikal pesertanya seperti Explorace terbitan TV3.

Atau lebih baik lagi, terbitkanlah rancangan-rancangan yang menggalakkan anak-anak muda mendekatkan diri dengan budaya sains dan teknologi, contohnya rancangan realiti yang menguji kehebatan saintis-saintis muda.

Akhir kata, saya ingin memetik kata-kata tokoh budaya, Azah Aziz dalam Utusan Malaysia: "Kenapa perlu menangis dan berpeluk-peluk di khalayak ramai.''

Ke mana hilangnya budaya orang Melayu yang selama ini terkenal dengan sifat pemalu. Ia bukan realiti. Realiti TV konon. - IBNU HALIM, Kuantan, Pahang.

dari artikel ini , saya rasa perlu satu tindakan yang berterusan oleh semua penggerak dakwah untuk menangani masalah ini. Pihak Kerajaan juga mesti berlapang dada untuk menilai semula rancangan-rancangan rialiti hiburan agar tidak bercanggah dengan matlamat dan konsep Islam yang diperjuangkan. Timbang-timbangkan lah... Wallahu `aklam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan