Jumaat, 2 Julai 2010

Sedekah







Setiap kali saya ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, maka akan bergeraklah kotak-kotak derma di hadapan para jamaah ketika mendengar khutbah yang disampaikan. Kadang-kadang terfikir pula saya akan peranan digerakkan kotak-kotak tersebut ketika khutbah disampaikan. Sedangkan kita dituntut untuk mendengar khutbah dengan sepenuh hati. Maka saya buat-buat tak nampak kotak di hadapan saya ketika itu. Ada ketikanya saya terdengar cakap-cakap para pelajar saya bahawa saya ini `cakap tidak serupa bikin`. Sewaktu dalam kelas saya amat memberi penekanan tentang fadhilat sedekah dan faedahnya. Namun, disebalik peristiwa itu saya memasukkan wang sedekah sekadar kemampuan sewaktu hendak keluar masjid.
Umumnya , sedekah menjadi pemangkin dalam menjana ekonomi umat Islam selain Zakat. Jika amalan ini dapat diperluaskan maka nasib umat Islam yang memerlukan akan terbela. Melalui Zakat, lapan golongan akan mendapat faedahnya, iaitu :-
1. Fakir
2. Miskin
3. Amil
4. Muallaf
5. Orang yang dibebani hutang
6. Hamba yang dijanjikan kemerdekaan
7. Fi Sabilillah
8. Ibnu sabil
Sehubungan itu , sedekah juga diberikan kepada golongan-golongan yang benar-benar memerlukan. Keutamaan sedekah ini dapat dilihat dalam maksud sabda Rasulullah SAW ..... Apabila mati anak adam, maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara :
1. Sedekah Jariah.
2. Ilmu yang bermanfaat.
3. Anak yang soleh mendoakan ibubapanya.
Zaman pemerintahan Saidina Usman bin Affan R.A, jelas menunjukkan betapa sedekah dapat mengubah keadaan hidup seseorang. Biarpun baginda seorang yang kaya, namun harta tersebut tidak langsung menjadikan baginda sombong dan bakhil. Malah, sikapnya lebih kuat tawadduk dan prihatin terhadap umat Islam. Sedekah juga tidak terhad kepada harta dan wang ringgit sahaja. Ini berdasarkan penjelasan nabi SAW tentang sedekah tersebut iaitu :-
1. Mendamaikan dua orang yang berbalah.
2. membantu orang naik kenderaan.
3. membantu angkat barang ke dalam kenderaan.
4. mengeluarkan kata-kata yang baik.
5. membuang duri dijalanan
keseluruhan ini dikira sebagai sedekah. Oleh itu, jika kita dapat membudayakan sedekah itu, umat Islam akan teransang untuk lebih berusaha memperbaiki ekonomi mereka. Budaya ini akan lebih bermakna dan menjadi biasa sekiranya dimulakan sejak usia muda. Sejak kanak-kanak lagi kita perlu mendidik anak-anak supaya membiasakan bersedekah. Allah SWT juga telah menjanjikan bahawa rezeki kita akan bersih dan bertambah jika kita melaksanakan tanggungjawab Zakat dan Sedekah. Sedekah juga melambangkan seseorang itu bersyukur atas nikmat yang Allah kurniakan kepada mereka. Maka seharusnya budaya sedekah ini bukan setakat hari jumaat sahaja, malah sedekah akan berlaku pada setiap hari sama ada waktu senang mahupun waktu susah. Timbang-timbangkan lah ....... wallahu `aklam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan